background

Saturday, November 28, 2009

selamat hari raya haji..

Aidiladha disambut penuh kesyukuran


TUANKU MUHRIZ menyerahkan daging korban kepada seorang penerima di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Kuala Pilah semalam.


KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh negara semalam menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh rasa kesyukuran disertai dengan semangat pengorbanan dalam menghadapi pelbagai dugaan dan bencana.

Walaupun banjir melanda beberapa negeri terutama di Kelantan dan Terengganu, namun sambutan Aidiladha di negeri-negeri terbabit tetap meriah.


MOHD. ALI RUSTAM (dua dari kiri) turut melapah daging lembu ketika hadir pada majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha di Surau An Nur Taman Merak Mas, Bukit Katil, Melaka.


Di Terengganu, seramai 1,026 mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan banjir di Hulu Terengganu dan Marang menyambut kedatangan Aidiladha secara ala kadar.

Di Masjid Negara Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama-sama rakyat jelata. Turut berangkat dua anakanda baginda, iaitu pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mu"az.


DAGING korban dihantar menggunakan bot kepada Siti Romlah Awang Hamat yang terkandas di rumahnya akibat banjir di Kampung Kubang Sawa, Tumpat.


Hampir 5,000 jemaah menunaikan solat sunat itu mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Tuanku Mizan.

Sementara di Shah Alam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 20,000 umat Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Friday, November 13, 2009

fikir dan renungkanlah




AS rampas 4 masjid kelolaan Iran




GAMBAR menunjukkan pintu masuk ke bangunan Piaget setinggi 36 tingkat yang akan dirampas oleh pentadbiran persekutuan Amerika Syarikat (AS) di New York.
NEW YORK - Pendakwa raya persekutuan Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengemukakan permohonan untuk merampas empat buah masjid dan sebuah bangunan pencakar langit 36 tingkat di sini daripada sebuah kumpulan kebajikan yang didakwa dikawal kerajaan Iran.
Menurut Peguam Daerah Selatan New York, Preet Bharara, pertubuhan itu yang dikenali sebagai Yayasan Alavi dituduh menyalurkan sejumlah dana kepada kerajaan Iran.
Bharara memfailkan aduan sivil di sebuah mahkamah persekutuan di sini untuk membatalkan sejumlah akaun bank milik yayasan tersebut.
Sebuah syarikat perantara, bangunan pejabat, hartanah di Virginia dan pusat Islam di negeri Maryland, Texas serta di California turut dirampas.
Sebanyak lapan hartanah dan sembilan akaun bank terbabit disenaraikan dalam permohonan itu.

PELAJAR-PELAJAR tiba di sekolah Ravi yang dikaitkan dengan rampasan aset Yayasan Alavi oleh pentadbiran persekutuan Amerika Syarikat di New York kelmarin.
Dalam aduan setebal 97 muka surat itu, para pendakwa raya AS mendakwa beberapa pegawai kanan Iran termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Tahmasb Mazaheri dan duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbabit dalam urusan perniagaan yayasan tersebut.
"Yayasan Alavi secara aktif menjadi 'kenderaan' untuk kerajaan Iran (melakukan usaha perniagaan setelah dikenakan sekatan ekonomi)," kata Bharara dalam satu kenyataan.
Tindakan itu dijangka akan meningkatkan ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat dengan Iran.
Iran sebelum ini didakwa membiayai kumpulan pengganas dan berusaha untuk menghasilkan bom nuklear dengan berselindung di sebalik program janakuasa elektrik.
Presiden AS, Barack Obama pernah memberitahu Kongres kelmarin bahawa hubungan negara tersebut dengan Iran masih belum pulih. - AFP